Wednesday 2 March 2011

Remaja Gemilang

Remaja adalah kekuatan, ia bagaikan sinar mentari, sesungguhnya mentari tidak dapat bersinar di senja hari secerah ketika di waktu pagi. Begitu juga pepohonan berbuah ketika masih muda, sesudah itu semua pohon tidak lagi menghasilkan apapun kecuali ranting. Remaja adalah tahap umur yang datang setelah berakhirnya masa kanak-kanak. Pertumbuhan dan perkembangannya sangat cepat sehingga menyebabkan perubahan yang besar terhadap sikap, kesihatan dan keperibadiannya.

Remaja adalah insan yang mencari sesuatu dalam dirinya sendiri, kekalutan dalam menemukan titik identiti diri menyebabkan ia bagaikan meraba gajah di dalam gelap. Seseorang yang kebetulan memegang kaki gajah mengatakan bahawa gajah itu hanya sebesar bola, sedangkan seorang lagi terpegang telinganya mengatakan bahawa gajah itu lembut dan lemah seperti kelinci, begitu juga yang lain kebetulan memegang gadingnya mengatakan bahawa gajah itu kecil dan tajam. Begitulah persepsi para remaja dalam mengertikan kehidupan.

Remaja yang ingin melihat dirinya dalam bentuk yang utuh harus memahami akan hakikat dirinya sendiri agar tidak menjadi seperti meraba gajah di dalam gelap. Sesungguhnya di dalam diri insan terdiri dari unsur roh, jasad dan nafsu. Roh merupakan sumber kehidupan yang mengatur fikiran dan hati untuk bertanggungjawab kepada Ilahi. Jasad, berasal dari tanah dan akhirnya akan kembali ke tempat asalnya. Begitu juga nafsu, jika dibawa ke jalan yang lurus, maka akan luruslah kehidupan kita, namun jika diikuti kehendaknya maka tersesatlah dalam jurang kenistaan. Hiasi diri dan peribadi dalam menmpuh kehidupan yang mungkin masih panjang. 



Kisah Cintanya Seorang Anak Kepada Seorang Ibu

... alam Misykaatul Anwaari menerangkan bahawa Nabi Isa as telah berkata kepada ibunya Maryam: "Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu marilah ibu bersama saya?"

Setelah Nabi Isa as berkata demikian pada ibunya maka berangkatlah Nabi Isa as bersama dengan ibunya menuju ke Gunung Lebanon, apabila sampai di gunung tersebut maka Nabi Isa as bersama ibunya berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat pada malam hari. Makanan mereka terdiri dari pohon kayu dan meminum air hujan.

Setelah sekian lama Nabi Isa as dan ibunya Maryam tinggal di Gunung Lebanon maka suatu hari Nabi Isa as turun dari gunung untuk mencari daun kayu untuk berbuka puasa untuk mereka berdua. Setelah Nabi Isa as turun maka datanglah malaikat maut menghampiri Maryam dengan berkata: "Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari."

Sebaik sahaja Maryam melihat orang yang memberi salam itu maka berkata Maryam: "Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku menggeletar dan berasa takut pula apabila mendengar suaramu!"

Kemudian Malaikat Maut berkata: "Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik dia anak kecil, orang tua, atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa."

Mendengar akan penjelasan dari Malaikat Maut itu maka Maryam berkata: "Wahai malaikat maut, adakah kedatangan kamu ini untuk menziarah aku atau untuk mencabut nyawa aku?"
Lalu berkata Malaikat Maut: "Wahai Maryam, kedatangan aku adalah untuk mencabut rohmu."

Apabila Maryam mengetahui bahawa Malaikat Maut datang untuk mencabut nyawanya maka berkata Maryam: "Wahai Malaikat Maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku pulang, kerana dia yang menjadi buah indah mataku, yang menjadi anak kasih sayangku, yang menjadi buah hatiku, yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku?"

Malaikat Maut pun menjelaskan perintahnya dengan berkata: "Wahai Maryam, sebenarnya aku tidak diperintahkan menurut kehendak kamu, aku ini hanyalah hamba yang diperintah.

Dan demi Allah aku tidak akan mencabut nyawa walaupun seekor nyamuk kalau aku tidak diperintahkan, sesungguhnya aku telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya aku tidak mensia-siakan walau satu saat pun untuk mencabut rohmu di tempat ini."

Setelah Maryam mendengar penjelasan dari malaikat maut maka dengan hati yang ikhlas Maryam berkata: "Wahai
malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah SWT, oleh itu kamu laksanakanlah perintah itu dengan segera"

Malaikat Maut mendekati Maryam dan mencabut rohnya, kebetulan pula di masa itu Nabi Isa as lambat pulang, beliau pulang apabila waktu Isyak yang akhir, setelah Nabi Isa as naik ke atas gunung dengan membawa bekalan untuk berbuka puasa maka beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat, Nabi Isa as menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Maka beliau pun meletakkan daun-daun yang dibawa untuk berbuka puasa dan meletakkan dekat ibunya lalu beliau berdiri mengadap kiblat.

Setelah sekian lama maka beliau pun memanggil ibunya: "Assalamualaiki ya ibu, waktu malam telah tiba dan orang yang berpuasa telah berbuka dan telah berdiri orang yang beribadah, mengapa ibu tidak beribadah kepada Tuhan yang Maha Pengasih?"

Nabi Isa as menyangka ibunya sedang tidur lalu beliau berkata; "Sesungguhnya dalam tidur itu terdapat kelazatan?" Nabi Isa memandang ke tempat ibunya dan didapatinya ibunya tidak makan apa-apapun walaupun 2/3 malam telah berlalu.

Nabi Isa as memanggil lagi ibunya: "Assalamualaiki yaa ummaahu?" Oleh kerana hari telah menjelang fajar maka ibunya tidak bangun lagi maka beliau pun menghampiri ibunya, lalu beliau meletakkan pipinya pada pipi ibunya dan meletakkan mulutnya pada pipi ibunya dengan menangis yang kuat beliau berkata: "Assalamualaiki yaa Ummaahu," malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Tuhan yang Maha Pengasih.

Setelah Nabi Isa as berkata demikian maka menangislah para malaikat di langit dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah SWT wahyukan kepada para malaikat yang bermaksud: "Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?"

Maka berkata para malaikat: "Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui."

Lalu Allah SWT wahyukan lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui dan Aku Maha Kasih Sayang."
Setelah itu dengan tiba-tiba kedengaran satu suara yang berbunyi: "Wahai Isa as angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu itu telah meninggal dunia dan Allah SWT telah melipat gandakan pahalamu."

Sebaik sahaja Nabi Isa as mendengar suara tersebut maka baginda pun mengangkat kepala sambil menangis lalu berkata: "Siapakah yang akan menjadi temanku di waktu aku sunyi dan di waktu aku menangis, dan dengan siapakah dapat aku ajak berkata-kata, dan siapa pula yang dapat membantu aku dalam ibadahku."

Kemudian Allah SWT mewahyukan pada gunung yang bermaksud: "Wahai gunung nasihatilah Rohku (Isa as)."
Setelah gunung menerima wahyu maka berkatalah gunung: "Wahai Roh Allah (Isa as) apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?"

Setelah Nabi Isa as mendengar kata-kata gunung maka turunlah beliau ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil, maka berkata Nabi Isa as: "Assalamualaikum yaa Bani Israil."

Apabila kaum Bani Israil melihat ada orang memberi salam maka mereka pun berkata: "Siapakah kamu ini wahai hamba Allah? Cantik sekali wajahmu dan telah menyinari rumah-rumah kami."

Lalu Nabi Isa as berkata: "Aku adalah Isa as, ibuku telah meninggal dunia, oleh itu tolonglah aku untuk memandi, mengafankan dan memakamkan ibuku."

Maka berkata kaum Bani Israil: "Wahai Isa as, di atas gunung itu terlampau banyak ular yang besar-besar dan bermacam-macam ular yang belum pernah kami lihat dan tidak pernah dilalui oleh para orang tua kami dan nenek moyang kami sejak 300 tahun."

Setelah Nabi Isa as mendapati bahawa mereka tidak mahu menolongnya maka baginda pun naik semula ke atas gunung, sebaik sahaja baginda naik maka baginda terpandang ada dua pemuda yang sangat cantik rupa parasnya, lalu Nabi Isa as memberi salam dan dibalas salam oleh kedua pemuda itu.

Kemudian Nabi Isa as berkata: "Wahai pemuda, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia oleh itu aku mohon kepada kamu berdua supaya dapat menolong aku untuk menguruskannya."

Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu: "Aku ini sebenarnya adalah Malaikat Mikail dan sahabat saya yang satu lagi ialah Malaikat Jibril."

Kemudian Malaikat Mikail mengeluarkan barang-barang yang dibawanya dengan berkata: "Ini adalah ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu. Dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandi dan mengafankan ibumu."

Setelah Malaikat Mikail berkata demikian maka Malaikat Jibril pun menggali kubur di atas gunung itu. Setelah selesai segala kerja memandikan mengafan dilakukan oleh para bidadari, dan setelah selesai disolatkan maka mereka bertiga pun mengkebumikan dalam kubur.

Setelah selesai maka Nabi Isa as pun berdoa kepada Allah SWT: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikitpun urusanku yang bersembunyi bagi Engkau, ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya di waktu ia wafat. Oleh itu izinkan dia berkata sesuatu kepadaku."

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa as yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya."
Setelah Nabi Isa as menerima wahyu dari Allah SWT maka baginda pun pergi ke kubur ibunya lalu berkata: "Assalamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimana pula kedatangan Tuhanmu (Tuhanku)."

Berkata ibunya: "Tempat pembaringanku adalah sebaik-baik tempat pembaringan, dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat kembali, sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa dia telah menerimaku dengan rela."

Berkata Nabi Isa as: "Wahai ibu bagaimana rasa sakitnya ketika mati?"

Berkata Ibu Nabi Isa as: "Demi Allah yang telah mengutusmu sebagai Nabi dengan sebenar- benarnya, belum hilang rasa pedihnya mati, demikian juga dengan rupa Malaikat Maut belum lagi hilang dari pandangan mataku; alaikas salam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat.

etiap remaja harus mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. Mereka harus mempunyai tujuan dan kesungguhan sebagai insan yang taat dan kreatif. Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri seorang remaja jika mereka mahu berjaya dan maju sebagai generasi yang cemerlang dan diberkati.

Pengendalian Diri


Remaja memerlukan pengendalian diri kerana remaja belum mempunyai pengalaman yang memadai dalam perkara ini. Masa remaja banyak menyentuh perasaan seorang remaja sehingga menimbulkan jiwa yang sensitif dan peka terhadap diri dan lingkungannya. Perkembangan ini ditandai dengan cepatnya pertumbuhan fizikal dan seksual. Akibat dari pertumbuhan fizikal dan seksual yang cepat itu maka timbullah kegoncangan dan kebingungan dalam diri remaja, khususnya dalam memahami hubungan lain jenis.


Dari keadaan yang dihadapi remaja ini akan menimbulkan dua masalah. Pertama dorongan seksual kerana ingin membuktikan bahawa diri telah dewasa sehingga berakhlak yang kurang sopan di tengah masyarakat, sehingga orang ramai menilai bahawa remaja hanya menimbulkan masalah. Padahal ketika itu remaja sedang meraba-raba dalam mencari jatidirinya.Kedua, mungkin juga remaja hilang kendali dalam dirinya sehingga lebih cenderung mengikuti nafsunya itu, ataupun remaja lebih suka menyendiri dan menutup diri.

Remaja yang merasakan bahawa fizikalnya sudah seperti orang dewasa sehingga ia merasa pula harus bersikap seperti orang dewasa untuk menutup keadaan dirinya yang sebenar harus memahami bahawa anggapannya itu hanya sekadar imitasi atau peniruan. Untuk itu remaja harus pandai mengendalikan diri dalam menghadapi dunia yang penuh dengan pancaroba dan gejolak ini. Hindarilah dari hanya mengikut kehendak hati, tapi gunakanlah fikiran agar setiap keputusan yang diambil benar-benar mengikuti citarasa ibu bapa, masyarakat dan agama.

Rasa Kebebasan Remaja


Pada usia remaja sangat memerlukan kebebasan emosional dan material. Kematangan dalam bidang fizikal atau tubuh mendorong remaja untuk berdikari dan bebas dalam mengambil keputusan untuk dirinya sehingga remaja terlepas dari emosi ibu bapa dan keluarga. Ramai ibu bapa tidak memahami keinginan yang tersimpan di dalam jiwa remaja, sehingga membatasi sikap, keperibadian dan tindakan-tindakan mereka, dengan alasan merasa belas kasihan dan lain-lain. Dengan cara ibu bapa sedemikian remaja merasa dirinya tidak dipercayai oleh orang tuanya, akibatnya remaja yang tidak memahami akan hakikat dirinya sendiri akan memberontak dan melawan kepada kedua ibu bapa.

Remaja yang beriman akan mengerti bahawa rasa kebebasan yang timbul dari dalam dirinya itu bukan selamanya harus dituruti, tetapi harus diatasi dengan cara yang bijaksana. Memang betul dalam satu aspek remaja memerlukan kebebasan untuk menentukan keputusannya, namun dari aspek lain remaja masih memerlukan orang tua untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepadanya. Jadi berfikirlah secara positif agar tuntutan dalam diri itu tidak mengalahkan tuntutan dan kehendak mulia orang tua terhadap diri anaknya. Jika ini dapat diatur secara efektif maka tidak akan timbul konflik kejiwaan dalam diri seorang remaja.

Rasa Kekeluargaan Remaja


Sebetulnya keperluan remaja terhadap kebebasan diri sendiri dan ingin berdikari itu bertentangan dengan keperluannya untuk bergantung terhadap ibu bapanya. Gejolak jiwa tersebut membuat remaja merasa tidak aman, kerana dari satu aspek ia sangat memerlukan keluarganya, namun dari segi yang lain dia ingin berdakari. Pengalaman kejiwaan semacam ini menyebabkan remaja menjadi bingung dan tidak menentu. Bagi remaja yang mengerti peristiwa yang sedang menimpa jiwanya dia akan berhati-hati dalam mengmbil sebarang tindakan, sehingga ia akan menjadi remaja yang tidak tertekan perasaan.

Rasa kekeluargaan dalam diri remaja ini bukan saja terjadi dalam lingkungan ibu bapa dan sanak saudara, tetapi juga pada kelompok teman seperjuangan, organisasi, sukan dan lain-lain. Jika perasaan ini disemai dengan baik, maka remaja tidak akan mengalami stres dan tekanan perasaan dan menjadikan kecenderungan jiwanya itu ke arah yang positif.

Kehidupan Sosial Remaja


Remaja sangat memerlukan agar kehadirannya diterima oleh orang-orang yang ada dalam lingkungannya, di rumah, di sekolah ataupun dalam masyarakat di mana ia tinggal. Rasa diterima kehadirannya oleh semua pihak ini menyebabkan remaja merasa aman, kerana ia merasa bahawa ada dukungan dan perhatian terhadap dirinya. Perkara ini merupakan motivasi yang baik bagi diri remaja untuk lebih berjaya dalam menghadapi kehidupannya.

Penerimaan masyarakat terhadap diri seseorang berperanan dalam mewujudkan kematangan emosi. Pada umumnya remaja sangat peka terhadap pujian dan cacian disekitarnya sehingga menyebabkan remaja mudah tersinggung. Jika ini terjadi remaja hendaklah memahami bahawa tidak semua manusia itu dalam keadaan serba baik, kemungkinan kesilapan yang dilalakukan oleh masyarakat sekitar itu dapat mendorong kita lebih matang dalam menghadapi masalah. Remaja juga harus menyedari, kemungkinan juga cacian dan celaan itu timbul kerana kesalahan dari pihak remaja sendiri. Bagi remaja yang beriman akan menghadapi suasana sosial semacam ini dengan lebih tenang dan sabar, sehingga ia akan menjadi remaja yang berhasil dan cemerlang.




Penyesuaian Diri Remaja


Penyesuaian diri terhadap orang lain dan lingkungan sangat diperlukan oleh setiap orang, terutama dalam usia remaja. Kerana pada usia ini remaja banyak mengalami kegoncangan dan perubahan dalam dirinya. Apabila seseorang tidak berhasil menyesuaikan diri pada masa kanak-kanaknya, maka ia dapat mengejarnya atau memperbaikinya pada usia remaja. Akan tetapi apabila tidak dapat menyesuaikan diri pada usia remaja, maka kesempatan untuk memperbaikinya mungkin akan hilang untuk selama-lamanya, kecuali boleh didapati melalui pengaruh pendidikan dan latihan-latihan.

Remaja yang mampu menyesuaikan diri dengan orang lain dan lingkungannya mempunyai ciri-ciri antara lain; suka bekerjasama dengan orang lain, simpati, mudah akrab, disiplin dan lain-lain. Sebaliknya bagi remaja yang tidak mampu menyesuaikan dirinya dengan orang lain atau lingkungannya mempunyai ciri-ciri; suka menonjolkan diri, menipu, suka bermusuhan, egoistik, merendahkan orang lain, buruk sangka dan sebagainya. Jika kebetulan remaja belum mampu menyesuaikan diri dengan cara yang lebih baik, maka berusahalah ke arah pembinaan akhlak yang mulia, maka insya Allah suatu saat nanti kita akan mampu. Seorang remaja jangan lekas putus asa dan patah hati dalam menghadapi kehidupan ini jika ingin lebih sukses dan cemerlang di masa akan datang.

Keyakinan Agama dan Nilai Murni Remaja


Keinginan remaja terhadap sesuatu kadang kala tidak dapat dipenuhi kerana dihalangi oleh ketentuan agama dan adat kebiasaan di tengah masyarakat. Pertentangan itu semakin ketara jika remaja menginginkan sesuatu hanya menurut selera dan kehendaknya saja. Mereka berpakaian yang tidak senonoh, menonton video lucah dan berperangai tidak manis di pandang mata, padahal semua perbuatan ini berlawanan dengan ketentuan agama dan nilai-nilai murni. Bagi remaja yang padai menempatkan dirinya pada posisi yang betul maka dia akan menghindari segala keinginan yang tercela dari kehidupannya.


Pertentangan antara keinginan remaja dengan ketentuan agama ini menyebabkan jiwa remaja memberontak dan berusaha menepis kenyataan itu dengan menurutkan kata hatinya.Remaja yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia serta mempunyai lingkungan keluarga yang menjalankan perintah agama, maka perkara ini dengan mudah mereka hadapi. Namun bagi remaja yang telah terlanjur melaksanakan sesuatu yang berlawanan dengan perintah agama hendaklah berusaha memperbaiki diri agar tidak sentiasa terlena dengan sesuatu pengaruh dan kenikmatan yang bersifat semantara itu.

Demikianlah di antara pengaruh atau gejolak jiwa yang terjadi dalam diri seorang remaja. Semuanya memerlukan perhatian remaja dalam memahami dirinya sendiri, serta perhatian ibu bapa agar ada saling pengertian dalam menghadapi dan memahami seorang insan yang berstatus REMAJA. Semoga informasi tentang remaja ini berguna dalam menjana para remaja dan pelajar dalam menghadapi abad yang penuh dengan cabaran dan godaan ini.

Manusia bukanlah makhluk yang pasif, hanya dengan menerima corak-corak hidup yang sudah terpeta. Oleh itu setiap manusia harus mempelajari seni hidup, agar dapat mewarnakan hidup dengan seindah-indahnya. Walau apapun kehidupan ia harus diisi dengan kebaikan. Demi masa yang begitu mencabar bagi seluruh remaja untuk menangani berbagai masalah yang sering menggugat kehidupan mereka. Keseimbangan beragama dan mengisi kehidupan ini dengan cara yang terbaik hendaklah diamalkan demi kesejahteraan.

Bumi yang kita diami ini bukanlah sebuah syurga, yang selama-lamanya aman dan damai. Ia adalah gelanggang kehidupan yang begitu mencabar dan penuh pergolakan serta gelombang percubaan yang tidak pernah putus. Demi masa dan kesedaran, seorang itu harus dibimbangi oleh satu sikap hidup yang tegas dan pandangan hidup yang tabah. Firman Allah SWT., dalam menetukan arah hidup seseorang itu, yang bermaksud:


"Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, dan hari kemudian, sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya."


(An Nisa : 136)


Etika Komunikasi Guru & Pelajar


Dalam proses pembelajaran di sekolah berbagai pendekatan yang digunakan oleh guru dalam mengajar ataupun mendidik para pelajar. Adakalanya guru bagaikan seorang bos atau raja yang hanya mengarah dan memerintah pelajar menurut kehendaknya. Ada juga guru mengajak para pelajar bersama-sama menyelesaikan topik yang dibincangkan. Namun kesemua kaedah itu berguna dan bermanfaat sesuai dengan keadaan. Sesungguhnya guru yang ditakuti tidak berhasil dalam menjalankan komunikasi efektif, kerana pelajar merasakan terdapat jurang dalam menyatakan pendapat. Tanpa komunikasi yang baik, hasil yang dituai juga tidak memuaskan.

Ada beberapa jenis hubungan guru dan pelajar seperti yang berikut;

1. Di sini, pelajar menjadi pendengar yang pasif. Mereka tidak dapat bertanya bila mereka tidak faham. Demikian juga guru tidak mengetahui apakah pelajarannya dapat diikuti ataupun tidak. Melalui jenis hubungan ini, bahan pelajaran, dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat.


2. Di sini, sudah terlihat hubungan 2 arah, tetapi terbatas antara guru dan pelajar secara individual. Antara pelajar dan pelajar tiada hubungan. Pelajar tidak dapat berdiskusi dengan teman atau bertanya sesama sendiri.


3. Jenis hubungan seperti ini sudah merupakan sistem hubungan yang lebih baik, walaupun masih agak terbatas dan formal. Guru tidak dapat berhubungan dengan pelajar dalam suasana perbincangan.

4. Hubungan ini merupakan hubungan yang paling efektif. Pelajar dapat mengadakan hubungan yang tidak terbatas. Guru dapat mengetahui apakah pelajarannya dan bimbingannya dapat difahami dan diterima oleh pelajar. Perbincangan juga dapat mengupas sekecil-kecil perkara atau sebarang ketidakpuasan dalam pembelajaran, di antara guru dan pelajar.

Adab Bersama Guru

Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru.

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut: 1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.


No comments:

Post a Comment